Sunday 3 February 2013

Hamzah Tewas di Tangan Wahsyi


Gugurnya Singa Allah – Hamzah Tewas di Tangan Wahsyi






Perang Uhud merupakan antara perang yang paling menarik pernah berlaku dalam dalam mana-mana sejarah perang dunia.

Walaupun berakhir dengan kekalahan pihak Islam dengan pelbagai strategi diatur sedemikian rupa yang pastinya menjanjikan kemenangan namun sepanjang berlaku perang ini penuh dengan pelbagai kisah kepahlawanan yang luar biasa dan sehingga kini tiada tolok bandingnya.

Tentunya yang kita maksudkan adalah kisah bapa saudara Rasulullah sendiri, iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib atau lebih dikenali sebagai ‘Singa Allah’ atau Asadullah.

Seorang bapa saudara yang sangat menjaga anak saudaranya sebelum ini dan pahlawan yang sangat perkasa dalam Perang Badar.

Semasa Perang Uhud, sesuai dengan gelaran yang diberi, Hamzah bagaikan seekor singa yang sedang mengamuk dan mengganas.

Hamzah atau nama sebenarnya Hamzah Abu ‘Amaarah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin ‘Abdi Manaaf al Quraisy al Haasyimi. Berusia dua tahun lebih tua daripada Rasulullah dikatakan berjaya membunuh lebih 30 tentera kafir Mekah sepanjang Perang Uhud itu.
Beliau yang turut digelar Sayyidusy-Syuhadaa’ (Penghulu para syuhada) tidak akan memberi peluang terhadap musuh kecuali terus berjuang habis-habisan mempertahankan Islam.

Sejak Hamzah mula memeluk Islam pada tahun kelapan selepas anak saudaranya itu dilantik Allah menjadi Rasul sehinggalah pada detik membawa kepada kematiannya di tangan musuh di Perang Uhud, seluruh hidupnya adalah untuk Islam.

Justeru sasaran membunuhnya memang tidak pernah padam di kalangan musuh. Malah ada yang membuat pelbagai tawaran yang sangat lumayan asal sahaja Hamzah dapat dibunuh.

Hamzah Tewas di Tangan Wahsyi

Wahsyi bin Harb adalah seorang Habsyi yang juga merupakan hamba kepada Jubair bin Muthim, Washi sangat dikenali dengan kehebatannya melempar pisau dan lontaran beliau jarang sekali tersasar.

Ketika persiapan kaum Quraisy untuk peperangan Uhud, Jubair telah datang berjumpa Washi dan telah membuat tawaran kepada Wahsyi, “Jika engkau dapat membunuh Hamzah, bapa saudara Muhammad, engkau akan aku merdekakan. Aku mahu menuntut balas kematian bapa saudaraku di Badar,” kata Jubair kepada Wahsyi.

Wahsyi segera berangkat ke medan Uhud secara sembunyi-sembunyi dan mencari-cari Sayidina Hamzah. Akhirnya dia mengenal pasti orang yang dicari iaitu Sayidina Hamzah r.a. bapa saudara kepada Rasulullah SAW. Wahsyi mula mencari tempat yang paling strategi iaitu dengan berlindung di sebalik batu. Beliau menunggu masa yang sesuai untuk bertindak.

Tatkala dia sedang merencanakan perancangannya, tiba-tiba Sibak bin Abdul Uzza datang menuju kearah Hamzah. Melihat Sibak datang kepadanya, Hamzah berteriak, “Ah! Kamu ke sini hanya mahu mencari mati!”

Dengan sekali hayunan, kepala Sibak berguling di tanah. Maka pada ketika itulah, Wahsyi terus mengacung-acungkan pisau bengkoknya itu, Setelah cukup yakin, beliau pun melemparkan pisau tanpa disedari oleh Sayidina Hamzah r.a. dan Pisau itu tepat mengenai sasarannya.

Hamzah cuba bangun menerkam Wahsyi, tetapi dia sudah tidak berdaya lagi dan Sayidina Hamzah rebah ke bumi lalu syahid. Wahsyi segera memberitahu tuannya, dengan harapan dapat dimerdekakan secepat mungkin.

Setelah berita kematian Hamzah diketahwi oleh Hindun, Hindun terus mendapatkan jasad Sayidina Hamzah yang sudah tidak bernyawa itu. Dibelahnya dada Sayidina Hamzah r.a. dengan kejam dan tanpa belas kasihan terus dikeluarkan jantungnya. Kemudian dengan rakus sekali dia mengunyah jantung Sayidina Hamzah r.a. kerana hendak memakannya, tetapi dia tidak mampu menelannya. Setelah hatinya puas, Hindun pun meninggalkan mayat bapa saudara Rasulullah itu.

Setelah peperangan tamat, kesemua para syuhadak dikumpulkan untuk dikebumikan. Rasulullah SAW terasa amat hiba dan sedih apabila melihat mayat bapa saudaranya itu diperlakukan sedemikian rupa. Rasulullah menanggung kedukaan yang sangat hebat yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata.

Ketika hari pembukaan (futuh) Mekah, Rasulullah SAW telah mengutus seseorang kepada Wahsyi untuk menyerunya kepada Islam. Akhirnya Wahsyi memeluk Islam, lalu dibawa ke hadapan Rasulullah SAW.

Rasulullah bertanya, “Kamukah yang bernama Wahsyi?

“Ya,” jawab Wahsyi.

“Kamukah yang telah membunuh bapa saudaraku Hamzah?” tanya Rasulullah.

“Benar,” jawab Wahsyi.

“Ceritakan kepadaku bagaimana kamu melakukan pembunuhan itu,” pinta Rasulullah.

Wahsyi pun menceritakan satu persatu apa yang telah dilakukan kepada bapa saudara Nabi itu, bagaimana tubuh bapa saudara baginda dilapah dengan kejam oleh Hindun dan dimakan hati dan jantungnya. Selesai sahaja bercerita, Rasulullah SAW yang dalam keadaan teramat sedih berkata kepadanya: “Pergilah kamu dari sini. Jangan engkau muncul lagi di hadapan mataku.”

Hancur luluh hati Wahsyi mendengar kata-kata yang keluar dari mulut baginda. Namun dia akur dan insaf bahawa perbuatannya dahulu telah menyakiti hati ‘orang Tuhan’ iaitu Rasulullah SAW. Walaupun dosanya telah diampunkan Iantaran memeluk Islam, tetapi atas kasih sayang Rasulullah, dia dilarang menampilkan diri di hadapan baginda, takut-takut perasaan Rasulullah tercacat apabila terpandang wajahnya. Mencacatkan hati orang Tuhan sangat besar akibatnya kerana itu bererti mencacatkan ‘hati’ Tuhan. Orang yang cacat dengan Tuhan tidak akan selamat di dunia lebih-Iebih lagi di Akhirat.

Lalu Wahsyi yang sedar akan kedudukannya, redha menerima ketentuan itu. Dia memperbaiki dirinya dan meningkatkan ketaqwaannya kepada Tuhan. Sewaktu-waktu menghadiri majlis baginda, Wahsyi mengintai-ngintai dari jauh untuk melihat wajah Rasulullah SAW.

Semakin hari hatinya semakin cinta dengan Nabi SAW. Dan semakin hari hatinya juga semakin rasa berdosa terhadap baginda atas perbuatannya dahulu. Lalu timbul azam di hatinya untuk menebus kembali dosa-dosanya itu dengan melakukan sesuatu yang akan menggembirakan baginda. Wahsyi bertekad dan berazam tidak akan pulang lagi ke Kota Mekah demi untuk merebut cinta kekasih Allah iaitu Muhammad SAW. Beliau benar-benar ingin menebus kesalahannya dengan menyebarkan Islam. Keazaman Wahsyi itu telah dibuktikannya dengan menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk berdakwah mengajak seramai mungkin manusia kepada Islam.

Bahkan ketika kaum muslim berperang menentang Musailamah Al Kazzab yang merupakan kaum Murtad di Yamamah, Wahsyi telah turut menyertai peperangan tersebut, bahkan beliau turut membawa pisau yang sama digunakan ketika membunuh Hamzah.

Ketika pertempuran sedang sengit terjadi beliau telah mengunakan kaedah yang sama iaitu mencuri curi masuk untuk mencari mangsanya iaitu Musailimah, melihat Musailimah sedang berdiri dengan pedang yang terhunus ditangan, beliau membuat persiapan untuk membuat lontaran dan diwaktu itu juga ada lagi seorang lelaki dari kaum Ansar di sebelah beliau yang mempuyai niat yang sama.

Setelah pasti dengan sasaranya, tanpa berlengah Washi melakukan lontaran dan telah tepat mengenai Musailimah, dan tampa membuang masa lelaki Ansar yang berada disebelahnya melompat keluar bagi menamatkan riwayat Musailamah dengan pedangnya. Namun tiada siapa yang pasti siapkah yang telah menamatkan riwayat Musailimah, adakah Lontaran Pisau Wahsyi atau pedang lelaki Ansar tersebut.

Namun seandainya Pisau beliau yang menamatkan riwayat Musailimah maka Wahsyi merupakan individu yang telah melakukan dua perkara yang begitu berbeza dalam hidupnya iaitu semasa Kafirnya beliau Membunuh Hamzah yang merupakan orang yang terbaik pada masa hidup Rasullullah SAW, dan semasa Islamnya telah membunuh Orang yang paling jahat sesudah Kewafatan Rasullullah SAW, iaitu Musailimah dan kedua dua kejadian tersebut mengunakan senjata yang sama…





Read more: http://dnobiz.com/santai/gugurnya-singa-allah-hamzah-tewas-di-tangan-wahsyi/#ixzz2JH8hQeuM

No comments:

Post a Comment