Sunday 12 January 2014

AKU MALU KERANA DIPUJI




Aku malu pada TUHAN dan diriku
mendengar pujian orang buat ku
Kerna ku tahu, aku tidak layak untuk itu...

Ya ALLAH...
KAU Maha Mengetahui tentang hamba-MU ini
dosa dan noda pada anggota dan jiwa
dalam kesunyian malam, ku pohon keampunan
janganlah pujian orang itu hanya igauan
sedang daku di lembah kemurkaan
limpahkan daku hamparan keikhlasan
hingga pujian atau makian
tidak akan menggugat perasaan.

TUHANku...
Ampunkanlah daku bila aku dipuji
sedangkan Dikau mengerti
diriku ini belum cukup murni
siapalah daku dibandingkan hamba-hamba-MU yang suci
para mujahid yang cukup berbakti
sedangkan aku hanya di pinggiran budi,
belum cukup harta atau air mata yang kucucuri
belum pun darahku tumpahi atau nyawa ku korbani
mereka sudah memuji
sedangkan baktiku belum pun terbukti
bahkan jauhnya antara langit dan bumi...

Maka tutupilah kelemahan diri ini
ketika dahi merapat ke bumi, aku tangisi
dalam kesunyian dinihari... aku ratapi
aku amat malu pada-MU ILAHI...
aku bimbangkang nifaq diri tersembunyi
bimbangkan puji membunuh kejujuran naluri

Wahai ILAHI..
Ampunkan daku kerana tak layak dipuji

Ampunkan mereka kerana salah memuji...



DrMAZA



No comments:

Post a Comment