Sunday 24 May 2015

Hujah Yang Padu!!! Pada Meluruskan Salah Faham Terhadap Hadith al-Jariah



TAFSIRAN HADITH AL-JARIAH MENGIKUT FAHAMAN YANG SEBENAR:

Golongan WAHHABI yang mendakwa bahawa Allah itu mempunyai tempat sering kali menjadikan hadith yang diriwayatkan di dalam kitab Sahih Muslim yang mana padanya terdapat soalan Nabi kepada seorang hamba tentang di manakah Allah, lalu hamba tersebut menjawab bahawa Allah itu berada di atas langit, sebagai hujah untuk mendakwa bahawa Allah itu bertempat. Di sini kami membahaskan berkenaan hadith al-Jariah inisecara terperinci supaya kita semua dapat memahami hadith ini sebagaimana ulama’-ulama’ kita memahaminya.

Sekarang mari kita lihat hadith tersebut serta penerangan yang diberikan oleh para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah mengenainya. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Muslim daripada Muawiyah bin Hakam al-Sullami yang berbunyi[1]:

 عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ الْحَكَمِ السِّلْمِيِّ قَالَ:
"كَانَتْ لِيْغَنَمٌ بَيْنَ أُحُدٍ وَالْجَوَانِيَّةِ: فِيْهَا جَارِيَةٌ لِيْ، فَاطَّلَعْتُهَا ذَاتَ يَوْمٍ فَإِذَا الذِّئْبُ قَدْ ذَهَبَ مِنْهَا بِشَاةٍ، فَأَسِفْتُ فَصَكَّكْتُهَا، فَأَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ، فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلِيَّ فَقُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَفَلَا أَعْتِقُهَا؟ قَالَ: اُدْعُهَا فَدَعَوْتُهَا فَقَالَ لَهَا: أَيْنَ اللهِ؟ قَالَتْ فِي السَّمَاءِ، قَالَ مَنْ أَنَا؟ قَالَتْ: أَنْتَ رَسُوْلُ اللهِ، قَالَ: أَعْتِقْهَا فَإنَّهَا مُؤْمِنَةٌ".
  
Terjemahan:

“Mu`awiyah b. al-Hakam al-Sulamy telah berkata: “Sesunggunya aku memiliki kambing [yang digembala] diantara bukit Uhud dan al-Jawaniyyah [kawasan berhampiran Uhud yang terletak dibahagian Utara Madinah]: Dalam kawasan ternakan tersebut terdapat seorang hamba perempuan milikku, maka pada suatu hari, aku telah menjenguknya. Seekor biri-biriku telah dibaham oleh seekor serigala. Aku menjadi berang, lalu aku menempeleng hamba perempuan tersebut. Maka aku datang berjumpa Rasulullahs allallahu`alaihi wasallam dan aku menceritakan kepada baginda apa yang telahberlaku, maka Rasululah memandang serius perkara tersebut. Maka aku bertanya [kepada baginda]: wahai Rasulullah apa pendapatmu, apakah aku perlu membebaskannya?[sebagai menebus kesilapan menampar hamba perempuan tersebut] Rasulullah bersabda: panggil perempuan tersebut kemari, lantas aku terus memanggilnya,lalu Rasulullah bertanya kepadanya: Di manakah Allah? Dia menjawab: dilangit, Rasulullah bertanya lagi: siapakah aku? Hamba perempuan tersebut menjawab: kamu adalah Rasulullah, lalu baginda bersabda: bebaskannya kerana diaseorang yang beriman”[1].  

Mari kita lihat tafsiran para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah mengenai hadith ini. Al-Imam al-Nawawi (W 676 H) didalam kitabnya Syarah Sahih Muslim ketika menghuraikan makna hadith ini dengan berkata[2]:

قَالَ الْإِمَامُ مُـحْيِالدِّيْنِ النَّوَوِيُّ  فِيْ كِتَابِهِ شَرْحِ صَحِيْحِ مُسْلِمٍ: "هَذَا الْحَدِيْثُ صِفَاتٌ، فِيْهَا مَذْهَبَانِ تَقَدَّمَ ذِكْرُهُمَا مَرَّاتٍ فِيْ كِتَابِ الإِيْمَانِ، أَحَدَهُمَا: الإِيْمَانُ بِهِ، مِنْ غَيْرِ خَوْضٍ فِيْ مَعْنَاهُ، مَعَ اِعْتِقَادِ أَنَّ اللهَ تَعَالَى لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ، وَتَنْزِيْهِهِ عَنْ سِمَاتِ الْمَخْلُوْقَاتِ. وَالثَّانِيْ: تَأْوِيْلُهُ بِمَا يَلِيْقُ بِهِ. فَمَنْ قَالَ بِهَذَا قَالَ: كَانَ الْمُرَادُ اِمْتِحَانَهَا هَلْ هِيَ مَوَحِّدَةٌ، تُقِرُّ بِأَنَّ الْخَالِقَ الْمُدَبِّرَ، الْفَعَّالَ هُوَ اللهُ وَحْدَهُ، وَهُوَ الَّذِيْ إِذَا دَعَاهُ الدَّاعِيْ اِسْتَقْبَلَ السَّمَاءَ، كَمَا إِذَا صَلَّى الْمُصَلِّيْ اِسْتَقْبَلَ الْكَعْبَةَ، وَلَيْسَ ذَلِكَ لأَنَّهُ مُنْحَصِرٌ فِي السَّمَاءِ كَمَا أَنَّهُ لَيْسَ مُنْحَصِرًا فِيْ جِهَةِ الْكَعْبَةِ، بَلْ ذَلِكَ لِأَنَّ السَّمَاءَ قِبْلَةُ الدَّاعِيْنَ، كَمَا أَنَّ الْكَعْبَةَ قِبْلَةُ الْمُصَلِّيْنَ".

Terjemahan: 

"Hadith ini adalah daripada hadith-hadith sifat (iaitu hadith mutasyabihat), dan padanya  ada dua mazhab yang telah disebutkan mengenainya berulang kali di dalam kitab Al-Iman,SALAH SATUNYA: Beriman dengannya, tanpa mendalami pada maknanya, berserta iktikad bahawa Allah ta`ala tidak menyerupai-Nya sesuatu dan menyucikan-Nya daripada sifat-sifat makhluk. DAN KEDUA: Mentakwilkannya dengan apa yang layak bagi-Nya. Dan barangsiapa yang berkata dengan pendapat ini: Maksud baginda ialah hendak menguji hamba itu adakah dia seorang yang beriman, kamu menetapkan sesungguhnya Dialah yang mencipta, yang mentadbir, yang berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya dan Dialah [Allah] yang apabila  seseorang berdoa kepada-Nya, dia menghadap kelangit [menadah tangan ke langit] sepertimana orang yang bersembahyang menghadap ke Ka`bah, dan ini bukanlah bermakna Allah meliputi [berada] dilangit sepertimana Allah tidak meliputi [berada di] Ka`bah, sebaliknya langit merupakan kiblat bagi orang-orang yang berdoa, begitu juga ka`bah menjadi kiblat bagi orang-orang yang bersembahyang" .

Dan al-Imam al-Nawawi telah menukilkan kata-kata Qadhi Iyadh (W 544 H) yang berbunyi[3]:

"لَا خِلَافَ بَيْنَ الْمُسْلِمِيْنَ قَاطِبَةً فَقِيْهُهُمْ وَمُحَدِّثُهُمْ وَمُتَكَلِّمُهُمْ وَنَظَّارُهُمْ وَمُقَلِّدُهُمْ أَنَّ الظَّوْاهِرَ الْوَارِدَةَ بِذِكْرِ اللهِ تَعَالَى فِي السَّمَاءِ كَقَوْلِهِ تَعَالَى: ((أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الأَرْضَ)) وَنَحْوُهُ لَيْسَتْ عَلَى ظَاهِرِهَا بَلْ مُتَأَوِّلَةٌ عِنْدَ جَمِيْعِهِمْ".

Terjemahan: 

"Tiada khilaf antara kaum muslimin dari kalangan ahli fekah, ahli hadith, ahli kalam, ahli fikir dan ahli taklid, bahawa nas-nas yang zahirnya menyebut Allah ta`ala itu di langit seperti firman-Nya ((Adakah kamu beriman dengan yang dilangit, dia akan menggulung bumi bagi kamu)) dan nas-nas yang seumpamanya, maka ia tidak diambil mengikut zahirnya bahkan ianya tertakwil di sisi mereka semua[4]".

Dapat dilihat pada kata-kata Qadi Iyadh di atas bahawa nas-nas yang zahirnya menyatakan bahawa Allah berada di langit tidak boleh di ambil secara zahir bahkan ianya mesti ditakwilkan. Berpegang dengan makna zahir pada nas-nas yang seumpama ini akan membawa kepada akidah tasybih (menyerupakan Allah dengan  makhluk) dan ini adalah akidah kufur. Dan halini juga telah disebutkan oleh Syeikh Ahmad Ar-Rifa`ei radiyallahu`anhu:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ الرِّفَاعِيُّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: "صُوْنُوْا عَقَائِدَكُمْ مِنَ التَّمَسُّكِ بِظَاهِرِ مَا تَشَابَهَ مِنَ الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ فَإِنَّ ذَلِكَ مِنْ أُصُوْلِ الْكُفْرِ".

Maksudnya:

Al-Imam Ahmad ar-Rifai`e radiyallahu`anhu berkata: “Hendaklah kalian memelihara aqidah kalian daripada berpegang dengan faham zahir terhadap nas-nas mutasyabihat daripada al-Quran dan al-Hadith kerana sesungguhnya ia merupakan di antara punca kekufuran”.

Imam Al-Hafiz Al-Karmani (786 H)  juga menjelaskan tentang maksud “Allah fis sama”[5]:

"فِي السَّمَاءِ ظَاهِرُهُ غَيْرُ مُرَاد، إِذْ اللهُ مُنَزَّهٌ عَنِ الْحُلُوْلِ فِي الْمَكَانِ، لَكِنْ لَمَّا كَانَتْ جِهَةُ الْعُلُوِّ أَشْرَفَ مِنْ غَيْرِهَا أَضَافَهَا إِلَيْهِ إِشْارَةٌ إِلَى عُلُوِّ الذَّاتِ وَالصِّفَاتِ".

Terjemahan:

"Perkataan Allah "fissama'" maka makna zahirnya BUKANLAH yang dimaksudkan oleh Allah ta`ala kerana Allah ta`ala tidak bertempat pada sebarang tempat, tetapi oleh kerana posisi di atas adalah posisi yang paling mulia berbanding posisi lain, maka Allah ta`ala menisbahkan posisi "atas" tersebut kepada Zat-Nya sebagai petunjuk terhadap ketinggian darjat  zat dan sifatNya."

Al-Hafiz Ibn Furak salah seorang ulama’ Ahl al-Sunnah yang masyhur (W 406 H) ketika menghuraikan makna hadith ini denga nmengatakan[6]:

 "إِنَّ مَعْنَىْ قَوْلِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ((أَيْنَ اللهُ)) اِسْتِعْلا مُمَنْزِلَتِهِ وَقُدْرَةِ عِنْدَهَا وَ فِيْ قَلْبِهَا، وَأَشَارَتْ إِلَى السَّمَاءِ وَدَلَّتْ بِإِشَارَتِهَا عَلَى أَنَّهُ فِي السَّمَاءِ عِنْدَهَا عَلَى قَوْلِ الْقَائِلِ: إِذَا أَرَادَ أَنْ يُخْبِرَ عَنْ رِفْعَةٍ وَعُلُوِّ مَنْزِلَةِ فُلَانٍ فِي السَّمَاءِ أَيْ هُوَ رَفِيْعُ الشَّأْنِ عَظِيْمُ الْمِقْدَارِ".

Terjemahan: 

"Sesungguhnya makna kata-kata Nabi sallallahu`alaihi wasallam ((Di manakah Allah?))ialah untuk mengetahui kedudukan dan kekuasaan Allah di dalam hati hamba perempuan itu. Dan hamba perempuan tersebut menunjuk ke arah langit kerana dia hendak menunjukkan bahawa Allah di langit dengan makna jika seseorang itu hendak memberitahu tentang ketinggian kedudukan seseorang, dia akan mengatakan bahawa si fulan di langit dengan maksud bahawa beliau tinggi keadaan dan agung kedudukannya[7].

Begitu juga kata-katanya bahawa Allah di langit itu adalah atas bentukisyarat sahaja sebagai menunjukkan kedudukan Allah di sisinya dan pengetahuannya tentang Allah. Dan dia menunjukkan isyarat ke langit kerana diaseorang yang bisu. Maka dia menunjukkan dengan cara isyarat bagi mengungkapkan makna ketinggian kedudukan Allah. Jika demikian, maka tidak boleh dibawa makna hadith ini kepada hal yang memberi makna bahawa Allah itu bagi-Nya had, tasybih dan berada pada tempat .

Di sini jelaslah kepada kita bahawa hadith jariah ini bukanlah hujah kepada golongan tertentu untuk mendakwa Allah itu mempunyai tempat. Maha Suci Allah daripada bertempat, Dia telah menciptakan tempat, maka mustahil Dia berhajat kepada makhluk yang diciptakan-Nya[8].

Imam Al-Qurthubi pula ada menyebut dalam kitab Al-Mufhim yang mensyarahkan lafaz-lafaz hadith dalam Sahih Muslim pada hadith Al-Jariyyah ini:

 "وَقَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلْجَارِيَةِ أَيْنَ اللهُ هَذَا السُّؤَالُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَادَ أَنْ يُظْهَرَ مِنْهَا مَا يَدُلُّ عَلَى أَنَّهَا لَيْسَتْ مِمَّنْ يَعْبُدُ الأَصْنَامَ وَلا الْحِجَارَةَ الَّتِيْ فِيْ الأَرْضِ، فَأَجَابِتْ بِذَلِكَ وَكَأَنَّهَا قَالَتْ إِنَّ اللهَ لَيْسَ مِنْ جِنْسٍ مَا يَكُوْنُ فِي الأَرْضِ،

وَأْيْنَ ظَرْفٌ يُسْأَلُ بِهِ عَنِ الْمَكَانِ كَمَا أَنَّ مَتَىْ ظَرْفٌ يُسْأَلُ بِهِ عَنِ الزَّمَانِ ...وَهُوَ لا يَصِحُّ إِطْلاقُهُ عَلَى اللهِ تَعَالَى بِالْحَقِيْقَةِ إِذْ اللهُ تَعَالَى مُنَـزَّهٌ عَنِ الْمَكَانِ كَمَا هُوَ مُنَـزَّهٌ عَنِ الزَّمَانِ بَلْ هُوَ خَالِقُ الزَّمَانِ وَالْمَكَانِ وَلَمْ يَـزَلْ مَوْجُوْدًا وَلا زَمَانَ وَلا مَكَانَ وَهُوَ الآنَ عَلَى مَا عَلَيْهِ كَانَ".

Terjemahan:

"Adapun sabda Nabi sallallahu`alaihi wasallam kepada Al-Jariyyah tersebut dengan perkataan "Aina Allah?" merupakan soalan daripada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam yang mengkehendaki bukti daripada hamba perempuan tersebut samada dia bukan penyembah berhala mahupun penyembah batu yang dibumi. Maka hamba perempuan menjawab dengan jawapan tersebut seolah-olah cuba menjelaskan bahawasanya Allah bukanlah daripada jenis-jenis tuhan di bumi (yang disembah oleh musyrikin).

Aina adalah perkataan yang ditanya dengan menggunakannya untuk mengetahui sesuatu tempat sebagaimana juga mata adalah perkataan yang ditanyakan untuk mengetahui masa… (Adapunpertanyaan dengan aina (di mana) tersebut) tidak boleh ditujukan kepada Allah secara hakikatnya kerana Allah ta`ala TIDAK BERTEMPAT sebagaimana Dia tidak diliputi oleh sebarang masa. Bahkan Dialah pencipta masa dan tempat sedangkan Dia wujud pada azali tanpa bertempat dan tanpa diliputi oleh masa. Dia wujud kini sebagaimana Dia wujud pada azali [iaitu dengan tanpa bertempat]".

 Imam Abu Al-'Abbas Ahmad Al-Qurtubi berkata lagi[9]:

هُوَ اللهُ لا أَيْنَ وَلا كَيْفَ عِنْدَهُ وَلا حَدَّ يَحْوِيْهِ وَلا حُصْرَ ذِيْ حَدِّ

Maksudnya:

"Dialah Allah, tanpa di mana dan tanpa kaif bagi-Nya. Dia tidak dibatasi oleh sebarang batasan yang meliputi".

 Al-Imam Husein bin Muhammad At-Tayyibi (743 H) ketika mengulas tentang hadith Al-Jariyyah ini berkata[10]:

لَمْ يُرِدْ -أَيْ الرَّسُوْلُ - السُّؤَالَ عَنْ مَكَانِهِ - أَيْ اللهِ - فَإِنَّهُ مُنَزَّهٌ عَنْهُ

Maksudnya:

"TIADA dikehendaki oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam ketika bertanya tersebut untuk bertanya tentang tempat bagi Allah ta`ala kerana Maha Suci Allah ta`ala daripada bertempat [iaitu Allah tidak bertempat]…"

Imam Ibn Al-Jauzi ketika mengulas tentang hadith Al-Jariyyah ini menyebutkan[11]:

قُلْتُ قَدْ ثَبَتَ عِنْدَ الْعُلَمَاءِ أَنَّ اللهَ تَعَالَى لا تَـحْوِيْهِ السَّمَاءُ وَالأَرْضُ وَلَا تَضَمُّهُ الأَقْطَارُ، وَإِنَّمَا عُرِفَ بِإِشَارَاتِهَا تَعْظِيْمُ الْخَالِقِ عِنْدَهَا

Maksudnya:  

"Telah tetap bagi ulama' bahawasanya Allah ta`ala tidak diliputi oleh langit mahupun bumi dan tidak terangkum dalam mana-mana tempat. Namun, Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam mengetahui dengan isyarat hamba perempuan tersebut bahawa dia mengagungkan Maha Pencipta".

Imam Abu Bakr Ibn Al-Arabi pula berkata dalam syarh Sunan At-Tirmizi  tentang hadith tersebut[12]:

وَالْمُرَادُ بِالسُّؤَالِ بِـهَا عَنْهُ تَعَالَى الْمَكَانَةُ فَإِنَّ الْمَكَانَ يَسْتَحِيْلُ

Maksudnya:  

 "Yang dimaksudkan dengan soalan "Aina Allah" adalah bertanyakan kepada hamba perempuan tersebut tentang kedudukan Allah ta`ala bukan bertanya tentang tentang tempat bagi Allah ta`ala kerana tempat bagi Allah ta`ala adalah mustahil…".

Imam Muhammad bin Khalifah Al-Ubbi dalam syarah Muslim beliau (Al-Ikmal) mengulas hadith tersebut dengan berkata[13]:

وَقِيْلَ لَإِنَّ مَا سَأَلَهَا بِأَيْنَ عَمَّا تَعْتَقِدُهُ مِنْ عَظَمَةِ اللهِ تَعَالَى، وَإِشَارَتُهَا إِلَى السَّمَاءِ إِخْبَارٌ عَنْ جَلالِهِ فِيْ نَفْسِهَا

Maksudnya:  

"Dikatakan bahawasanya Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bertanya kepada hamba perempuan tersebut dengan soalan "aina" untuk bertanya tentang pegangan hamba tersebut tentang keagungan Allah ta`ala,lalu hamba perempuan tersebut menunjukkan ke langit dalam menjelaskan keagungan Allah dalam dirinya (bukan mengenai tempat Allah)".

Imam Muhammad As-Sanusi Al-Hasani dalam Mukammil Ikmal  turut mensyarahkan hadithAl-Jariyyah tersebut dengan makna takwilan iaitu keagungan Allah subhanahu wata`ala.

Imam Al-Baji ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebut[14]:

لَعَلَّهَا تُرِيْدُ وَصَفَهُ بِالْعُلُوِّ وَبِذَلِكَ يُوْصِفُ كُلٌّ مِنْ شَأْنِهِ الْعُلُوَّ فَيُقَالُ فَلانٌ فِيْ السَّمَاءِ بِمَعْنَىْ عُلُوُّ حَالِهِ وَرِفْعَتِهِ وَشَرَفِهِ

Maksudnya:

"Boleh jadi yang dimaksudkan oleh hamba perempuan tersebut adalah menyifatkan Allah dengan ketinggian, iaitu ketinggian keagunganNya, kerana dikatakan seseorang itu dilangit dengan makna ketinggian keadaannya dan ketinggian darjat kemuliaannya".

Demikian sedikit sebanyak syarah kepada hadith Al-Jariyyah versi aina Allah yang diriwayatkan oleh Imam  Muslim ini. Majoriti ulama'salaf dan khalaf iaitulah ulama' ahlus-sunnah wal jamaah memalingkan aina Allah daripada makna zahirnya yang membawa kepada kejisiman. Lebih jelas lagi, sebahagian besar daripada mereka (ulama' muktabar) membuat ulasan yangmenafikan "sekeras-kerasnya" fahaman tajsim dan fahaman tuhan bertempat daripada hadith Al-Jariyyah ini, dengan memberi makna keagungan, ketinggian kedudukan Allah dan sebagainya.

Mereka mensyarahkan hadith Al-Jariyyah dengan makna keagungan dan sebagainya tanpa menetapkan makna zahir Allah dilangit pada hadith Al-Jariyyah tersebut bukan berdasakan hawa nafsu mereka, sebagaimana dakwaan sebahagian mujassimah yang jahil lagi menyesatkan,tetapi berteraskan manhaj ilmiah yang sahih lagi mendalam.

Para ulama' hadith seperti ImamAl-Baihaqi, Imam Ibn Al-Jauzi, Imam An-Nawawi, Imam Al-Qurtubi,Imam Ibn Hajar Al-Asqalani dan sebagainya yang terlibat dalam menafikan makna zahir aina Allah daripada Allah ta`ala merupakan antara rujukan utamaumat Islam dalam bidang hadith itu sendiri. Mereka tidak akan mengulas hadith Al-Jariyyah dengan hawa nafsu mereka, sebagaimana sangkaan golongan mujassimah sejak dahulu sehinggalah hari ini.

[1] Al-Imam al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim (1996), Dar al-Makrifah, BeirutLubnan, c. 3. J. 5. h. 26
[2] Ibid. h. 27.
[3] Ibid. h. 27.
[4] Surah al-Mulk: 17.
[5] fath Al-Bari: 13/412
[6] Ibn Furak, Musykil al-Hadith Wa Bayanuhu (1985), `Alam al-Kutub, c. 2.h. 159-160.
[7] Perlu diingat bahawa ungkapan ini hanya sahih maknanya di dalam bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana jika seseorang yang berbangsa Melayu mengatakan si fulan di langit, maka tiada orang yang memahami dari kata-kata orang ini bahawa yang dimaksudkan ialah si fulan itu tinggi kedudukannya.
[8] Lihat juga kerangan yang diberikan olehal-Syeikh Ismail Haqqi di dalam kitab tafsirnyaRuh al-Bayan mengenai hal ini, rujuk di juzuk 8, halaman 184.
[9] Tobaqot As-Syafi'iyyah: terjemah Abi Al-Hasan Al-Asy'ari 3/428
[10] syarh At-Tayyibi 'ala Misykat Al-Masobih 6/340
[11] Daf' Syubah At-Tasybih 189
[12] Syarh Sunan At-Tirmizi 11/273
[13] Ikmal Al-Mu'allim pada syarah hadith tersebut
[14] Rujuk kitab Al-Muntaqi.

[1] al-Naysaburi, Abi al-Husayn Muslim b. al-Hajjaj b. Muslim (2000), Sahih Muslim dalam Mawsu`ah al-Hadith al-Syarif al-Kutub al-Sittah, c. 3, hadisno. 1199 dalam Bab Tahrim al-Kalam fi al-Salat wa Naskh ma Kana min Ibahatih,h. 761.



No comments:

Post a Comment