Monday, 11 March 2013

Kenapa Saya Berpurdah?







Tidak pernah terbayang di benak fikiran saya bahawa saya akan berpurdah satu hari nanti. Usahkan berpurdah, malah saya tidak pernah terbayang untuk memakai jubah dan tudung labuh sebagai pakaian harian saya untuk berurusan di luar rumah. Tiada seorang pun dari keluarga dekat dan keluarga jauh saya yang berpakaian begitu.

Namun, takdir Allah merubah segalanya. Saya yang pada asalnya menjadikan baju t-shirt lengan panjang, seluar slack dan tudung bawal sebagai pakaian harian saya di luar rumah akhirnya berubah memakai jubah, tudung labuh dan purdah hanya selepas seminggu saya menjejakkan kaki di kota DimasyQ.

Januari 2006, saya mula berjinak dengan jubah dan purdah. Pada awalnya memang agak berat untuk memakainya, tapi di sebabkan biah (suasana) pemakaian wanita-wanita arab di DimasyQ dan boleh dikatakan 98% pelajar wanita Malaysia yang menuntut di bumi syam memakai purdah, secara tidak langsung saya terdorong dan agak ‘terpaksa’ berpakaian seperti itu. Mana tidaknya, semua orang berpurdah dan hanya saya yang tidak, membuatkan saya berasa malu dan segan untuk menjadi salah seorang yang ‘aneh’ di kalangan mereka.

Alhamdulillah.. secara tidak sengaja saya telah berpurdah dan menutup aurat secara sempurna dan  saya rasakan sebelum ini saya tidak pernah menutup aurat secara sempurna melainkan pada waktu solat, kerana saya tidak pernah berstokin ketika keluar dari rumah.

Dua atau tiga kali saya pulang ke Malaysia untuk bercuti, dan pada waktu itu saya tidak memakai purdah di Malaysia. Kerana saya merasakan suasana di Malaysia agak tidak sesuai untuk saya mengenakan purdah.
Namun, sedikit demi sedikit insiden yang berlaku membuatkan hati kecil saya berbicara;

aku kena pakai purdah jugak kat Msia ni..”.

Sudah beberapa kali mata saya melihat gelagat si jejaka mengambil gambar si gadis secara curi-curi. Ntah apalah yang akan di buat dengan gambar ayu si gadis itu. Tetapi, rasanya sudah menjadi kebiasaan buat mereka-mereka yang bergelar jejaka bila berjaya mengambil gambar si gadis mereka akan meratap gambar gadis itu yang diambil secara curi. Malah ada juga yang akan tunjuk kepada geng-geng nya dan berkongsi komen serta pendapat menceritakan kecantikan si gadis itu. Padahal siapa si gadis itu pun kadang-kadang si jejaka tidak tahu. Ohh.. ngerinyaa..

Ada juga jenis jejaka yang mengambil gambar wajah si gadis hanya dengan menggunakan matanya sahaja. Kemudian gambar itu di simpan di dalam hati dan wajah itu akan dilihat melalui igauan dan khayalan. Fuuhh…

Saya masih teringat lagi detik saya memasakkan sedalam-dalamnya niat di hati saya untuk terus berpurdah di Malaysia. Dan jika ditanya kenapa saya memilih untuk memakai purdah, inilah yang bakal saya ceritakan..
Saat ketika saya masih lagi berada di Syria, waktu itu saya sedang membelek-belek facebook bersama sahabat karib saya. Ternampak gambar seorang gadis yang tidak dikenali oleh jejaka itu ditangkap secara curi. Apabila membaca comment pada gambar tersebut kelihatan berpuluh-puluh comment rakan-rakan lelaki si jejaka menafsirkan kecantikan dan kelakuan si gadis itu, dimana beberapa comment itu jika dibaca, saya sebagai seorang wanita akan berasa malu walaupun kata-kata itu tidak ditujukan kepada saya.
Maka dari situlah titik permulaan saya bertekad untuk memakai purdah. Walaupun al-kisahnya mungkin tidak ngeri bagi pendapat wanita-wanita lain, tapi sudah cukup ngeri bagi saya.





HUKUM MEMAKAI PURDAH

Banyak perbahasan pendapat telah dibuat oleh para ulama’ berkaitan dengan isu hukum pemakaian purdah. Ada yang mengatakan wajib dan ada yang mengatakan sunat.
Namun saya tidak dapat membahaskan hujjah-hujjah tersebut secara mendalam disini.
Apa pun, antara salah satu sebab yang membuatkan saya kuat untuk berpurdah apabila membaca kitab ‘Tafsir Ayatul Ahkam’ karangan ulama’ tersohor iaitu Syeikh Muhammad Ali as-Sobbuni pada jilid yang ke-dua pada tajuk ‘hijab perempuan muslimah’.
Syeikh as-Sobbuni menimbulkan persoalan : Adakah wajib ke atas wanita untuk menutup mukanya (iaitu berpurdah )?

Lalu dia memberi keterangan :

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (سورة النور :٣١)

31. dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.  (surah an-Nur, ayat 31)

 Dalam ayat tersebut melarang kita untuk menunjukkan perhiasan tubuh wanita melainkan kepada mahram, dan WAJAH merupakan asal perhiasan wanita serta sumber kecantikkan dan fitnah. Oleh itu, menutup wajah adalah dharuri di hadapan lelaki ajanib ( selain mahram ).
Bagi mereka yang mengatakan wajah merupakan bukan aurat bagi wanita (diharuskan membuka wajah / tidak berpurdah), mereka meletakkan syarat :

1-       Tidak meletakkan sebarang perhiasan dan solekkan pada wajah

2-       Aman dari fitnah – sekiranya tidak aman dari fitnah, maka haram membuka wajah.

Dan tidak syak lagi fitnah pada zaman ini adalah tidak aman, maka oleh yang demikian kami berpandangan wajib bagi wanita untuk menutup wajah mereka(berpurdah) bagi memelihara kehormatan sebagai seorang muslimah.. “

Namun ada juga hujjah-hujjah yang menerangkan hukum pemakaian purdah adalah tidak wajib, tetapi di galakkan untuk memakainya. Hujjah-hujjah tersebut boleh dilihat pada blog Dr. Asri Zainal Abidin.
http://drmaza.com/home/?p=68





Walaupun saya berpurdah, saya tidak menganggap diri saya sudah cukup perfect dan yakin saya akan masuk ke syurga. Malah, saya terasa diri saya penuh dengan kekurangan dan tubuh saya penuh berlumuran dosa. Maka saya berpurdah dengan harapan saya dapat mendekatkan diri kepada Allah dan dapat memperbaiki diri.

Saya juga tidak pernah melihat atau menilai wanita-wanita yang tidak memakai purdah dan tidak berjubah itu seakan-akan telah melakukan kesalahan dan melakukan perkara yang haram hanya kerana mereka tidak berjubah dan berpurdah. Malah saya menilai mereka dengan husnu zhon ( bersangka baik ), barangkali mereka jauh lebih baik dan lebih taat kepada Allah berbanding saya.
Jubah dan purdah bukan syarat untuk memasuki syurga, tetapi hanya salah satu cara untuk mendekatkan diri dengan syurga.

Wanita berpurdah juga bukannya seperti malaikat yang tidak pernah melakukan kesalahan. Malah, kami juga manusia yang tidak pernah henti melakukan kesalahan. Oleh itu, janganlah menilai kami seperti malaikat tetapi tegurlah kami andai kami melakukan kesalahan dan kesilapan. Kami juga anak-anak adam yang tidak pernah terlepas dari bisikan dan tipu daya syaitan.
Mungkin hari ini saya berpurdah, ntah esok lusa saya akan menanggalkannya. Nauzubillah..

يا مقلب القلوب، ثبت قلوبنا على دينك و على طاعتك..

Wallahua’lam… ( Allah lebih mengetahui )
*catatan ini hanya sekadar perkongsian ilmu dan pendapat. Bukan perbahasan yang lengkap tentang isu pemakaian purdah.



No comments:

Post a Comment