Monday, 24 June 2013

Bidadari Dunia – Dia Adalah Yang Punya Malu.



Bidadari Dunia. Bukan dilahirkan. Tetapi dibentuk menjadinya ~ Picture by my beloved Laila Jihad of Deviant Art.

Kita meneruskan lagi bicara kita berkenaan Bidadari Dunia. Kali ini dengan tajuk yang umumnya mengetahui. Malu.
Ya. Malu. Ramai yang tahu. Tetapi berapa ramai yang mengaplikasi di dalam hidup?
Berapa ramai pula yang memahami makna malu yang sebenar?
Bersembunyi dan tidak keluar?
Tidak ke hadapan dan mendiam?
Tidak bergaul dan menyendiri?
Bidadari Dunia pada saya adalah yang punya malu. Dan dia malu dalam keadaan yang sebenarnya. Malu adalah apa yang membuatkan seorang wanita itu menjadi Bidadari Dunia, dan mahak di mata manusia yang lainnya.
Mengapa? Kita perhatikan. Ini pandangan saya, seorang lelaki biasa yang memandang perempuan itu mahal sebenarnya.
Malu yang sebenar.
Membicarakan malu, ita perlu kembali kepada malu yang sebenarnya.
Bukan pada saya malu itu hingga tidak bergaul, tidak ke hadapan, dan mengasingkan terus diri daripada masyarakat. Bagaimana Bidadari Dunia mahu beroperasi, sekiranya malu itu adalah sedemikian?
Nusaibah RH menyertai medan perang. Aisyah RH, Fatimah RH juga demikian.
Khansa RH pula berpuisi kepada orang ramai, dan manusia dapat pula melihat ketabahannya saat dia kehilangan anak.
Seorang perempuan, tanpa segan silu mencari Rasulullah SAW kerana risau akan keselamatan baginda.
Apakah mereka ini tidak malu? Mustahil. Mereka adalah sohabiah Rasulullah SAW. Semestinya mereka adalah wanita yang paling mempunyai ‘malu’ dalam kehidupan mereka. Maka di sinilah kita melihat semula definisi malu.
Malu yang sebenar, adalah malu untuk melanggar perintah Allah SWT.
Maka, selagi tidak dilanggar perintah Allah SWT, apakah yang mahu dimalukan?
Pada saya, itulah definisi malu yang dipegang oleh Bidadari Dunia yang menakjubkan.

Bidadari Dunia, Malu Dengan Allah SWT
Bidadari Dunia itu mahal kerana dia malu kepada Allah SWT. Sebab itu, dia bukan menuruti rasa ‘malu’ yang terbit daripada ‘rasa’nya. Sebab itu, Bidadari Dunia masih bercakap di hadapan sekiranya dia diperlukan. Bidadari Dunia akan turun ke medan saat dia diperlukan. Bidadari Dunia akan bergaul dengan lelaki saat dia diperlukan. Walaupun mungkin ramai yang merasa ‘malu’ untuk itu, tetapi Bidadari Dunia bukan sedemikian.
Tinggal, Bidadari Dunia menjadi indah dengan ‘malu’nya apabila, dalam dia kelihatan ‘berani’ itu, dia menjaga batas-batas yang Allah SWT telah gariskan.
Bidadari Dunia tidak ‘berani’ sehingga mendedahkan auratnya, bentuk tubuhnya. Bukan kerana dia mengikut rasa ‘malu’ yang terbit daripada perasaannya, tetapi kerana dia malu untuk melanggar arahan Allah SWT.
Bidadari Dunia tidak akan terlalu ‘berani’ bergaul dengan lelaki ajnabi, berlebih-lebihan hingga hilang kehormatan dan kemahalalan dirinya. Bukan kerana dia mengikut rasa ‘malu’ yang terbit daripada perasaannya, tetapi kerana dia malu untuk melangkaui batas yang dibina oleh Allah SWT.
Bidadari Dunia tidak akan terlalu ‘berani’ ke hadapan dengan lenggang yang mengiurkan, suara yang menggoda, dan sikap gedik yang mengada-ngada. Bukan kerana dia mengikut rasa ‘malu’ yang terbit daripada perasaannya, tetapi kerana dia malu untuk melangkaui batas yang dibina oleh Allah SWT.
Mengapa saya ulang-ulangkan – bukan kerana dia mengikut rasa ‘malu’ yang terbit daripada perasaannya – ?
Kerana, ada orang, dia memang sikit pun tak rasa malu mendedahkan rambutnya. Pada dia, biasa. Hatinya tak tercuit pun rasa segan bila mendedahkan bahunya. Pada dia, biasa. Ada orang, dia memang rasa biasa bertepuk tampar dengan yang bukan sejenis, memang rasa tak ada masalah bila dia buat suara menggoda dan sebagainya. Pada dia, itu biasa.
Jadi, Bidadari Dunia ni bukan ikut ‘apa dia rasa’.
Bidadari Dunia ini, ikut ‘apa Tuhan dia kata’.
Walaupun dia tak malu nak dedahkan tubuhnya, dia rasa ‘malu’ juga untuk melakukannya kerana itu adalah batas antara ketaatan dia kepada Allah, dan keingkaran dia kepadaNya.

Lihatlah Allah SWT apabila memberikan pesan kepada perempuan beriman
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. Surah An-Nur ayat 31.
Allah SWT menyuruh perempuan yang beriman itu menjaga diri mereka. Penjagaan inilah yang merupakan ‘malu’ yang sepatutnya ada pada perempuan yang ingin menjadi Bidadari Dunia. Dia bukan muncul di khalayak untuk menggoda, menunjuk-nunjuk dirinya, tetapi dia bergerak hanya dalam batas-batas yang dibenarkan Tuhannya.
Apakah Allah SWT melarang wanita bergaul dengan lelaki? Tidak. Lihatlah firman Allah SWT.
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Surah At-Taubah ayat 71.
Tetapi, jelas batas-batasnya ada. Bukan semberono sahaja pergaulannya.
Kerana itu, sahabiah-sahabiah Rasulullah SAW bukan duduknya di rumah semata-mata. Tetapi membantu juga di dalam peperangan, membantu juga dalam penyebaran ilmu Islam.

Tetapi bagaimanakah perempuan hari ini?
Tetapi bagaimanakah saudari-saudari saya hari ini?
Di manakah malu itu diletakkan?
Apakah apabila di dalam jiwa rasa ‘tidak mengapa’, ‘tak rasa segan pun’, maka semberono sahaja diredah batas-batas yang ditetapkan Tuhan?
Siapakah yang saudari-saudari saya hari ini ambil sebagai idola? Artis-artis atau yang memang telah diiktiraf oleh Allah dan Rasulullah SAW sebagai Bidadari Dunia?
Ada pula dalam kalangan saudari-saudari saya yang salah meletakkan malu mereka.
Contoh dalam urusan perbincangan perkahwinan. Kononnya malu, kononnya nak menjaga syara’, akhirnya hingga berbincang pun tidak. Tunggang terbalik sana-sini, disulami salah faham yang berselirat. Contoh lain, dalam urusan persatuan, dalam urusan kerja-kerja Dakwah dan Tarbiyah, dalam melaksanakan program dan sebagainya. Amat sukar untuk berbincang. Kononnya malu, hendak menjaga syara’. Tetapi akhirnya menyukarkan keadaan.
Tidak memahami di mana patutnya malu diletakkan, adalah satu kesilapan fatal.
Akhirnya perempuan-perempuan Islam ini tidak ke hadapan, tidak kuat, lemah di mata masyarakat dan dikatakan mundur serta mudah dipergunakan.

Penutup: Malu Bidadari Dunia, menyebabkan mereka mahal.
Sebab itu dalam membicarakan Bidadari Dunia, kefahaman berkenaan malu ini adalah penting.
Mereka itu, Bidadari Dunia itu, menonjol tetapi tidak pula kita rasa mereka ‘murah’. Bahkan kita rasa ‘hormat’. Mereka itu, punya batas-batas, tetapi tidak pula kita lihat mereka terkongkong. Bahkan kita melihat mereka ‘bebas’.
Malu telah menjaga akhlak mereka. Malu telah menjaga maruah mereka. Malu telah menjaga peribadi mereka. Malu telah menjaga prinsip mereka. Malu telah menjaga kecantikan mereka. Malu telah menjaga tubuh mereka. Buat mereka mahal, semahal-mahalnya.
Kita sejuk mata memandang mereka menutup aurat, akhlak yang cantik.
Dan tidak pula kita rasa meluat apabila mereka ke hadapan dan bergaul di dalam masyarakat.
Bahkan sering kali kita tersenyum dan merasa lega.
Mujur ada perempuan sedemikian yang berjalan di atas dunia.
Kerana kita tahu Bidadari Dunia itu punya malu yang menjaga mereka, membuatkan mereka sentiasa kelihatan indah dan menyenangkan.


No comments:

Post a Comment